Najib kecam kejadian panggilan ‘spam’ misteri

Datuk Seri Najib Razak berkata selain kejadian ‘panggilan spam’ itu, banyak laman web BN tidak boleh diakses. (Gambar Twitter)

PETALING JAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengecam kejadian panggilan “spam” misteri yang berlaku kepada beberapa pemimpin hari ini sejak awal pagi.

“Saya mengecam sekeras-kerasnya taktik ‘panggilan spam’ diterima ramai pemimpin BN dari nombor antarabangsa. Telefon yang diserangi ‘spam’ ini tidak dapat berfungsi seperti biasa. Selain itu, banyak laman web BN pun tidak boleh diakses. Saya telah arahkan supaya tindakan segera diambil” kata Najib di laman Twiter miliknya hari ini.

Awal hari ini beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) menuduh BN cuba menyesakkan talian telefon mereka.

“Mereka fikir kami bodoh seperti mereka,” kata Naib Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Ramai pemimpin PKR berkata mereka juga mengalami perkara sama. Naib presidennya, Tian Chua menyalahkannya ke atas “strategis Umno/BN.”

“Taktik kotor Umno/BN sedang berjalan dengan telefon bimbit pemimpin utama DAP di seluruh negara disabotaj dan disesakkan dengan panggilan masuk tanpa henti dari AS sejak 7.30 pagi ini dan sesetengahnya jam 8.00 pagi,” kata pemimpin veteran parti itu, Lim Kit Siang.

Kemudian, beberapa pemimpin BN juga mengadu berkenaan panggilan misteri dari luar negara, beberapa jam selepas pemimpin PH menuduh BN melancarkan strategi untuk menyesakkan talian telefon mereka pada hari mengundi.

Timbalan Pengarah Komunikasi Strategik BN, Eric See-To berkata beliau juga menerima panggilan misteri itu sejak pagi ini.

Pemimpin BN lain yang juga menerima panggilan tersebut termasuklah Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan dan penyandang kerusi Simpang Renggam, Datuk Liang Teck Meng.

FMT cuba menghubungi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia untuk mendapatkan respons berhubung dakwaan itu.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/05/09/panggilan-telefon-tanpa-henti-dari-as-sambut-pemimpin-ph-pada-hari-mengundi/

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/05/09/pemimpin-bn-juga-terima-panggilan-misteri/