Nik Omar tak hubungi keluarga sejak penamaan calon, kata Nik Abduh

Nik Abduh ketika tiba di tempat pembuangan undi di SMK Raja Sakti pagi tadi.

KOTA BHARU: Nik Mohamad Abduh hari ini mendakwa abangnya, Nik Omar tidak menghubungi atau pulang bertemu ibu dan keluarganya sejak hari penamaan calon pada 28 April lalu sehingga sekarang.

“Beliau tidak hubungi ahli keluarga, seluruh ahli keluarga kita tidak dapat hubungi beliau, saya dimaklumkan, beliau sepanjang kempen berada di markas Pakatan Harapan,” kata Nik Abduh, yang juga anak kepada tokoh PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Nik Abduh juga berkata Nik Omar perlu memohon maaf kepada ibunya kerana mengingkari arahan untuk tidak bertanding mewakili Pakatan Harapan.

“Terserah kepada Nik Omar, dia melanggar adat paling besar yang wajib dalam agama, iaitu mematuhi arahan ibu bapa, kita bercakap soal hukum, kami keluarga yang terikat dengan hukum agama, taat kepada ibu bapa satu keperluan.

“Kalau mahu dapat redha Allah kita kena dapat redha ibu dulu. Hari ini ustaz Nik Omar mahu dapat redha masyarakat, tapi apa guna kalau tiada redha ibu, dan ibu marah kepada beliau. Dia hanya ada satu cara sahaja, iaitu kembali kepada ibu, minta maaf dan harus isytihar pandangan saya,” katanya.

Nik Abduh berkata ibunya sangat marah akan tindakan Nik Omar yang disifatkan sebagai meninggalkan perjuangan bapanya, sambil menegaskan hanya Nik Omar seorang dalam keluarga mereka yang tidak mengundi PAS.

“Tidak masuk akal jika dia mahu mendakwa apa yang dia faham sebenarnya perjuangan ayah,” katanya sambil mengatakan Nik Omar perlu utamakan arahan ibu bapa walaupun Tuhan tidak melarang sesiapa memilih mana-mana parti sekali pun.

Beliau juga berkata, beliau tidak akan bertanding jika ibunya tidak memberi restu.

“Jika ibu kata saya tidak boleh berdakwah, itu saya tidak boleh taat kerana berdakwah wajib. Menjadi calon bukan wajib, pegang jawatan bukan wajib. Kalau ibu kata cukuplah jadi ahli jawatankuasa PAS saya beritahu presiden saya tak akan bertanding dalam parti,” katanya.

Nik Omar sekarang bertanding di DUN Chempaka sebagai calon PH, sementara Nik Abduh digerakkan ke Parlimen Bachok, yang dimenangi PAS pada PRU13 dengan majoriti 201 undi.