Pemimpin BN juga terima panggilan misteri

Antara rakam layar dikongsi oleh penyandang kerusi Simpang Renggam, Datuk Liang Teck Meng, menunjukkan panggilan yang diterima daripada nombor tidak dikenali.

PETALING JAYA: Beberapa pemimpin Barisan Nasional (BN) juga mengadu berkenaan panggilan misteri dari luar negara, beberapa jam selepas pemimpin Pakatan Harapan (PH) menuduh BN melancarkan strategi untuk menyesakkan talian telefon mereka pada hari mengundi.

Timbalan Pengarah Komunikasi Strategik BN, Eric See-To berkata beliau juga menerima panggilan misteri itu sejak pagi ini.

Pemimpin BN lain yang juga menerima panggilan tersebut termasuklah Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan dan penyandang kerusi Simpang Renggam, Datuk Liang Teck Meng.

“Telefon saya seperti diserang panggilan spam pagi ini. Pelik,” kata Khairy di laman Twitter miliknya hari ini, yang turut disertakan dengan rakam layar menunjukkan nombor telefon dari Amerika Syarikat dalam senarai panggilan tak dijawabnya.

“Saya menerima panggilan tidak dikenali dari AS dan Eropah di telefon bimbit saya sejak 9.00 pagi hingga sekarang, tanpa henti,” kata Liang.

Awal hari ini, beberaa pemimpin PH menuduh BN cuba menyesakkan talian telefon mereka.

“Mereka fikir kami bodoh seperti mereka,” kata Naib Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Ramai pemimpin PKR berkata mereka juga mengalami perkara sama. Naib presidennya, Tian Chua menyalahkannya ke atas “strategis Umno/BN.”

“Taktik kotor Umno/BN sedang berjalan dengan telefon bimbit pemimpin utama DAP di seluruh negara disabotaj dan disesakkan dengan panggilan masuk tanpa henti dari AS sejak 7.30 pagi ini dan sesetengahnya jam 8.00 pagi,” kata pemimpin veteran parti itu, Lim Kit Siang.

FMT cuba menghubungi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia untuk mendapatkan respons berhubung dakwaan itu.

Panggilan telefon dari AS sambut pemimpin PH pada hari mengundi