Polis Sabah terima 6 laporan kad pengenalan palsu

Datuk Ramli Din berkata polis menerima laporan tentang penggunaan kad pengenalan, dan apabila pengundi itu datang mengundi, undian sudah dibuat. (Gambar Twitter)

KOTA KINABALU: Polis Sabah menerima laporan 6 kes melibatkan kad pengenalan digunakan individu lain semasa pengundian Pilihan Raya Umum ke-14 setakat 2 petang tadi.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Ramli Din berkata 3 kes diterima di Tawau dan 1 kes masing-masing di Papar, Lahad Datu dan Kota Kinabalu.

“Polis menerima laporan tentang penggunaan kad pengenalan. Apabila pengundi itu datang mengundi, undian sudah dibuat,” katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan pusat mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chung Hwa hari ini.

Ramli berkata proses pengundian juga berjalan lancar tanpa sebarang kejadian tidak diingini dilaporkan setakat ini.