
PUTRAJAYA: Peratusan keluar mengundi pada sebelah pagi sangat baik dengan 24% daripada keseluruhan 14,449,200 pemilih berdaftar bagi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) telah menunaikan tanggungjawab masing-masing setakat 10 pagi ini.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berkata berdasarkan laporan awal yang diterimanya, proses pengundian di seluruh negara turut berjalan lancar dan berharap sasaran 85% keluar mengundi dapat dicapai.
“Jika diperhatikan sejak 8.00 pagi kehadiran di pusat mengundi memang ramai dan saya jangkakan tengah hari ini keadaan (akan) jadi reda sedikit.
“Dijangka dalam pukul 2.00 atau 3.00 petang sehingga 5.00 petang kehadiran akan bertambah semula. Ini trend sejak dahulu lagi,” katanya selepas mengundi di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 16 (1), hari ini.
Beliau menasihatkan pengundi supaya keluar awal kerana bimbang dengan cuaca pada sebelah petang yang diramalkan hujan di beberapa negeri.