Akhirnya, Dr Mahathir kembali sebagai PM ke-7

PETALING JAYA: Penantian sejak pagi tadi berakhir apabila Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad kembali memimpin negara secara rasmi sebagai perdana menteri Malaysia ke-7, malam ini.

Negarawan itu mengangkat sumpah di depan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, di Istana Negara.

Pemimpin 4 parti komponen PH, iaitu Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu bersama beberapa ahli Parlimen PH dan pegawai kanan kerajaan, termasuk Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa turut menghadiri upacara itu.

Kira-kira 1,000 penyokong turut menunggu pintu Istana Negara bagi mengucapkan tahniah kepada Dr Mahathir.

Pada usia 92 tahun, Dr Mahathir mencipta rekod sebagai perdana menteri tertua di dunia selepas mencipta kemenangan bersejarah buat parti pembangkang dengan menyingkirkan Barisan Nasional (BN) daripada tampuk pemerintahan negara sejak 61 tahun lalu.

Ahli Parlimen Langkawi itu juga adalah perdana menteri paling lama berkhidmat di Malaysia dari 1981 hingga 2003.

Presiden PPBM itu pada awalnya dijangka mengangkat sumpah pada 9.30 pagi tadi, tetapi ditangguhkan tanpa sebarang alasan diberikan.

Menerusi pilihan raya umum ke-14 semalam, 4 parti dalam PH yang diketuai Dr Mahathir memenangi 125 daripada keseluruhan 222 kerusi Parlimen di seluruh negara, menewaskan BN yang sekadar mendapat 79 kerusi dan PAS (18).

Parti politik yang mendapat majoriti mudah, iaitu 112 kerusi boleh membentuk kerajaan persekutuan.

Istana Negara dilaporkan menerima keputusan rasmi PRU14 daripada Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah pada 2.45 petang tadi.

Ia selepas pihak Istana Negara menerima warkah pemakluman yang ditandatangani ketua pemimpin PH yang bersepakat menamakan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri ke-7 kira-kira 1.38 tengah hari tadi.

Dr Mahathir yang berbaju Melayu hitam, tiba di Istana Negara pada 4.40 petang tadi menaiki Proton Perdana hitam bernombor plat “Proton 2020”, simbolik kepada 2 legasi terkenalnya: kereta nasional Proton dan Wawasan 2020, pelan tindakan untuk status negara maju pada 2020.

Pagi tadi, Datuk Seri Najib Razak yang mengetuai BN melalui kekalahan paling teruk dalam sejarah negara, berkata beliau menerima keputusan rakyat dan menggesa semua pihak bertenang untuk membolehkan Agong menentukan perdana menteri ke-7.