Istana Negara nafi Agong lengah pelantikan Dr M sebagai PM

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Wan Ahmad Dahlan Ab Aziz berkata baginda menyokong penuh dan menghormati proses demokrasi dan kehendak rakyat. (Gambar Facebook)

KUALA LUMPUR: Istana Negara menafikan sekeras-kerasnya sebarang dakwaan kononnya Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V melengah-lengahkan pelantikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Wan Ahmad Dahlan Ab Aziz berkata tuanku menjalankan tugas serta tanggungjawab baginda mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan dalam melantik Dr Mahathir sebagai perdana menteri.

“Tuanku Yang di-Pertuan Agong menyokong penuh dan menghormati proses demokrasi dan kehendak rakyat baginda,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Menurut Wan Ahmad Dahlan, Istana Negara menerima keputusan rasmi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) untuk semua kerusi Parlimen dan DUN di seluruh negara daripada Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Tan Sri Mohd Hashim Abdullah pada pukul 2.45 petang tadi.

Beliau berkata Istana Negara juga menerima warkah pemakluman yang ditandatangani oleh ketua pemimpin Pakatan Harapan yang bersepakat menamakan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri yang ke-7.