Jangan tunggu, lantik PM sekarang, Sultan Johor beritahu Istana Negara

Gambar Facebook

JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengarahkan semua pihak menghormati suara rakyat dan melantik segera perdana menteri yang baru, berikutan kemenangan besar Pakatan Harapan pada pilihan raya umum semalam.

Sultan Ibrahim yang sebelum ini mengkritik Pengerusi PH Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata baginda lebih mementingkan kepentingan rakyat dan bukan dirinya.

“Saya minta semua menghormati suara rakyat yang mana rakyat nak kerajaan baru.

“Dengan ini saya meminta kerajaan yang dilantik serta merta dan jangan buang masa lagi dan saya harap Istana Negara hari ini juga melantik perdana menteri yang baru,” katanya dalam kenyataan.

Pagi tadi, Dr Mahathir berkata PH sudah pun menerima sokongan lebih 135 ahli Parlimen termasuk wakil rakyat Bebas, Warisan dan STAR bagi menubuhkan kerajaan persekutuan.

Ia di sebalik gesaan Dr Mahathir supaya pelantikannya dipercepatkan.