PAS sudah jangka rakyat Kelantan tolak PH

Datuk Ahmad Yakob ketika sidang media di ibu pejabat PAS Kelantan hari ini.

KOTA BHARU: PAS Kelantan hari ini berkata pihaknya sudah menjangka Pakatan Harapan (PH) tidak menang sebarang kerusi di negeri itu pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) semalam, mengatakan pendekatan PH tidak sesuai dengan rakyat di negeri itu.

Pesuruhjaya PAS, Datuk Ahmad Yakob berkata, rakyat Kelantan tidak mudah termakan dengan pendekatan PH lebih sesuai di negeri pantai barat.

“Kita sudah jangka, di Kelantan, PH tidak mendapat sebarang kerusi kerana pendekatan yang dibawa PH Kelantan tidak sesuai berbanding di pantai barat,” katanya semasa sidang media di ibu pejabat PAS Kelantan hari ini.

PAS memenangi 37 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), Barisan Nasional memenangi 8 kerusi DUN, dan PH pula tidak memenangi mana-mana kerusi.

PAS juga memenangi 9 daripada 14 kerusi Parlimen di negeri itu.

Yakob juga berkata, antara faktor utama PAS menang besar di Kelantan adalah hasil sokongan pengundi muda dan semangat yang ditunjukkan oleh anak Kelantan yang berada di perantauan.

“Antara faktor kemenangan ialah sokongan pengundi muda, dan kesedaran tinggi daripada anak-anak Kelantan di perantauan untuk balik mengundi menyokong PAS. Kita sangat menghargai sokongan mereka dan berterima kasih kepada petugas yang membantu PAS untuk menang.

“Prestasi kita bertambah baik. Jumlah kerusi dengan majoriti melebihi 5000 undian adalah sebanyak 6 kerusi, majoriti 2500 hingga 5000 undi pula dicatat di 13 kerusi, majoriti 1000 hingga 2500 undi dicatat di 12 kerusi dan kurang 1000 undi dicatat di 6 kerusi.

“Ini menunjukkan sokongan rakyat bertambah dan ini memberi keyakinan kepada kita untuk terus mentadbir Kelantan,”katanya.

Pada PRU lepas, PAS memenangi 32 kerusi DUN, manakala BN meraih 12 kerusi, dan PKR hanya 1 kerusi.