Izzah kata pembebasan Anwar ambil masa, tak boleh sahkan

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar berkata proses pembebasan pemimpin pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengambil masa dan beliau sendiri tidak boleh mengesahkan apa-apa pada ketika ini.

“Ia akan mengambil masa untuk proses dokumentasi. InsyaAllah, kita harapkan yang terbaik,” katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Rehabilitasi Cheras, hari ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V bersedia memberi pengampunan kepada Anwar, yang sedang menjalani hukuman penjara 5 tahun di Penjara Sungai Buloh selepas disabit kesalahan meliwat.

Dr Mahathir berkata pengampunan diraja untuk Anwar dibincangkan dalam pertemuan antara Sultan Muhammad V dan pimpinan PPBM, PKR, DAP dan Amanah, yang membentuk gabungan Pakatan Harapan (PH), semalam.

“Agong menyatakan bersedia untuk memberi pengampunan kepada Anwar dalam kadar segera.

“Kami akan lakukan proses sewajarnya untuk dapatkan pengampunan Anwar, bukan sahaja dia mendapat pengampunan, tetapi dia juga akan dibebaskan serta-merta,” katanya.

Anwar merupakan pilihan pertama PH sebagai calon perdana menteri. Mengikut rancangan asal PH bagi pilihan raya umum ke-14, Dr Mahathir akan menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Anwar selepas ketua umum PKR itu layak untuk memegang jawatan itu.