Majlis angkat sumpah MB Kedah petang ini

ALOR SETAR: Majlis pelantikan dan angkat sumpah menteri besar Kedah yang dijadualkan semalam, akan berlangsung 3 petang ini di Istana Anak Bukit, dekat sini.

Menurut jemputan rasmi yang dikeluarkan pihak kerajaan negeri, istiadat itu akan diadakan di Balairung Seri Kecil setelah mendapat perkenan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

Bagaimanapun, sehingga kini, tiada sebarang maklumat mengenai parti mana yang akan membentuk kerajaan negeri.

Pembentukan kerajaan Kedah tergantung selepas tiada parti atau pakatan mendapat majoriti mudah yang diperlukan, iaitu 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pada pilihan raya umum ke-14 Rabu lepas, Pakatan Harapan yang diketuai bekas menteri besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berjaya memenangi 18 daripada 36 kerusi DUN.

Barisan Nasional pula hanya memenangi 3 kerusi, manakala PAS memperoleh 15 kerusi.