Pengedar kereta jangka jualan naik selepas mansuh GST

Pengedar kereta terpakai berkata, jualan menurun sejak GST diperkenalkan pada April 2015. (Gambar Reuters)

PETALING JAYA: Pengedar kereta terpakai menjangkakan jualan akan meningkat selepas cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dimansuhkan kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH).

Walaupun mereka menjangka jualan kekal perlahan dalam 3 bulan akan datang, tetapi senario itu mungkin berubah jika GST dimansuhkan seperti dijanjikan PH dalam manifestonya dalam tempoh 100 hari pertama berkuasa.

Saujadi Hassan Ahmat, 47, berkata beliau tidak sabar melihat GST dimansuhkan kerana ini akan meningkatkan kuasa membeli pengguna.

Katanya, sejak cukai itu dilaksanakan April 2015, jualan kereta terpakai jatuh 30% hingga 50%.

Beliau berkata, sukar untuk menarik pelanggan membeli kereta terpakai kerana beban kewangan mereka akan bertambah.

“Tanpa GST, harga akan turun. Apabila orang ramai mempunyai lebih banyak wang, kuasa membeli akan meningkat.

“Saya percaya perniagaan lebih baik dari segi jualan,” katanya kepada FMT.

Saujadi juga berharap perniagaannya akan kembali seperti sebelum GST dilaksanakan, di mana beliau lebih mudah mencari pelanggan.

PH memenangi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) Rabu lalu dengan memenangi 113 kerusi Parlimen, sementara sekutunya Parti Warisan Sabah meraih 8.

Fahmi Ghezab, 39, yang sudah berkecimpung dalam industri penjualan kereta terpakai sejak 8 tahun lalu berkata, GST menyebabkan beliau sukar menawarkan pembelian kereta menerusi pinjaman.

“Saya hanya dapat menjual kereta berharga RM10,000 ke bawah.”

Katanya, ramai pembeli sedang menunggu GST dimansuhkan dan harga lebih rendah.

“Bagi mereka yang tidak mempunyai banyak wang, lebih baik tunggu.”

Seorang lagi pengedar, Nura Habshah berkata langkah itu akan mengurangkan beban pengguna dan merangsang pasaran.

“Saya tidak sabar melihat kuasa membeli kembali meningkat selepas 3 bulan.”