Salleh: Kekalahan saya sangat menginsafkan

Datuk Seri Salleh Said Keruak juga berkata dalam politik tidak ada kuasa yang lebih hebat daripada kehendak rakyat. (Gambar Youtube)

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak menyifatkan kekalahannya pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) sebagai sesuatu “yang tidak mudah untuk diterima dan pastinya sangat menginsafkan”.

Dalam catatan di blognya hari ini beliau juga berkata ia juga membuatkan seseorang itu untuk bermuhasabah dan terus bertenang ketika berdepan kekalahan.

“Pada 9 Mei 2018, rakyat bersuara dan kita harus mematuhi kehendak rakyat dalam semangat ‘suara rakyat adalah suara keramat’,”catat beliau.

Salleh juga berkata dalam politik tidak ada kuasa yang lebih hebat daripada kehendak rakyat, dan mereka (calon pilihan raya) harus terima apa jua keputusan.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang mengizinkan beliau berkhidmat kepada negara.

Bekas menteri komunikasi dan multimedia itu kalah kepada calon Parti Warisan Sabah, Isnaraissah Munirah Majilis @Fakharudy dalam pertandingan 4 penjuru bagi kerusi Parlimen Kota Belud.