3 Adun Umno Johor sertai PPBM demi ‘perpaduan Melayu’

Setiausaha PPBM Johor Datuk Osman Sapian (tengah, bercakap) bersama 3 Adun Johor yang mahu sertai PPBM.

JOHOR BAHRU: 3 Adun Umno Johor hari ini memohon untuk sertai PPBM “demi perpaduan Melayu” dan kepentingan rakyat Sedili, Johor Lama dan Endau, susulan tumbangnya Barisan Nasional (BN) di negeri itu pada pilihan raya baru-baru ini.

Rasman Ithnain (Sedili), Rosleli Jahari (Johor Lama) dan Alawiyah Talib (Endau) memohon menyertai parti komponen Pakatan Harapan itu, yang ditubuhkan oleh sekumpulan veteran Umno, kerana wakil rakyat pembangkang tidak akan dapat beri perkhidmatan terbaik sebab tiada sokongan penuh parti pemerintah.

“Apa yang penting untuk rakyat. Kami kena membela dan membantu rakyat. Apa saya boleh buat dengan rakyat.

“Bagaimana nak bantu rakyat sekarang? Pengundi akan faham,” kata Rasman pada sidang media hari ini.

Turut bersama mereka menyertai PPBM kira-kira 40 Ahli Jawatankuasa Umno Kota Tinggi.

“Pengundi sokong kami kerana mahukan perkhidmatan kami. Bila waktu sekarang kami nak melangsungkan kehendak rakyat, bagaimana kami nak buat kerja?” katanya.

Dengan penyertaan 3 Adun ini, kerusi PH di Johor meningkat kepada 39 kerusi berbanding BN 16 dan PAS 1.

Sementara itu, PPBM Johor mengalu-alukan kemasukan 3 Adun Umno itu.

Setiausaha Datuk Osman Sapian ketika dihubungi berkata pihaknya belum menerima borang permohonan daripada 3 Adun Umno itu tetapi mereka boleh mengisinya kemudian sebagai formaliti.

“Demi perpaduan dan rakyat, mengapa tidak?” katanya.