Bagaimana Umno boleh capai semula kegemilangannya

Tawfik berkata Umno asal komited kepada prinsip demokrasi dan tidak cuvanis. (Gambar Youtube)

PETALING JAYA: Bekas ahli Parlimen Tawfik Ismail menasihatkan Umno kembali ke keadaan asal parti supaya dilihat sebagai alternatif kepada Pakatan Harapan.

Umno asal katanya komited kepada prinsip demokrasi dan tidak cuvanis.

“Umno dalam keadaan asal ialah parti progresif yang berpangkalan di luar bandar”” katanya. “Politik wang bukan perkara biasa dan tidak cuba menjadi PAS melebihi PAS.”

Tawfik yang berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Sungai Benut antara 1986 dan 1990 berkata, untuk Umno memaparkan dirinya sebagai parti yang layak memimpin pembangkang, ia mesti menyusun semula parti itu supaya sekali lagi ia menjadi parti ysng meletakkan ideologi mengatasi ahli, walaupun ahli itu ialah presiden parti.

Beliau berkata Umno perlu memudahkan anak muda Melayu yang pintar untuk sertai parti itu dengan memusatkan pendaftaran daripada cawangan menjadi titik kemasukan.

Beliau mendakwa ramai anak muda Melayu menyertai parti lain kerana cawangan Umno tidak menerima mereka.

“Jika keahlian dipusatkan, pimpinan tertinggi boleh menilai komitmen ahli baru kepada prinsip dan ideologi parti,” katanya.

Tawfik berkata beberapa penganalisis menyalahkan Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak sebagai punca utama kekalahan pertama Barisan Nasional sejak merdeka, tetapi menggesa Umno menunjukkan kesatuan dengan berdiri di belakang bekas perdana menteri itu, “sekurang-kurangnya pada ketika ini”.

“Benar presiden mesti bertanggungjawab,” katanya. “Tetapi siapakah orang lain yang boleh satukan semua orang? Alternstif lain hanya akan muncul selepas pemilihan parti dan jika orang yang menang jawatan presiden itu seorang ahli Parlimen.”

Tawfik menggesa BN membentuk sebuah Kabinet bayangan untuk memantau kerajaan. “Dengan pengalaman bertahun-tahun yang ada pada mereka, Umno boleh menjadi kuasa Parlimen yang kuat,” katanya.