Dr M arah status rahsia laporan 1MDB digugurkan

Polis akan menghantar laporan 1MDB dengan segera kepada Dr Mahathir. (Gambar Reuters)

PETALING JAYA: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengarahkan status rahsia laporan siasatan ketua audit negara ke atas 1MDB digugurkan.

“Saya beri arahan kepada polis untuk mengugurkan sekatan Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan mereka akan menghantar laporan itu kepada saya dan saya akan menelitinya,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PPBM.

Turut hadir Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Laporan audit dibentangkan ke Jawatankuasa Kira-kira Awam Negara susulan kontroversi tentang kewangan dan pelaburan 1MDB, yang dikatakan mengalami kerugian RM42 bilion.

Laporan itu dikelaskan bawah OSA pada 2016 dan para Ahli Parlimen hanya dibenarkan mengkaji laporan itu tetapi tidak boleh mendedahkan butirannya.

Beberapa ahli politik, termasuk Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memohon perintah mahkamah untuk melepaskan laporan itu, tetapi tuntutan itu dibuang Mahkamah Tinggi pada Januari.

Dr Mahathir berkata bekas gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz akan menjadi sebahagian daripada pasukan yang akan menyiasat 1MDB, yang ditubuhkan sebagai syarikat pelaburan strategik kerajaan persekutuan.

Zeti antara 4 ketua agensi kerajaan yang menyiasat 1MDB pada 2015.

“Kalau perlu kita akan dapatkan orang lain,” kata perdana menteri.

Dr Mahathir juga mahu mendapatkan data dan maklumat mengenai 1MDB daripada Switzerland dan Singapura.

“1MDB ini kompleks,” katanya.