Najib mohon maaf, pergi ‘bercuti pendek’

Kru berita menunggu di lapangan terbang Subang selepas dikatakan sebuah pesawat peribadi dijadualkan akan berlepas ke Indonesia.

PETALING JAYA: Pagi ini, bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak memohon maaf atas kekurangan dan kesilapan yang dilakukan dan memaklumkan akan pergi bercuti meluangkan masa dengan keluarga selepas melalui kempen pilihan raya yang pahit.

Beliau menulis di Twitter selepas tersebar desas-desus malam tadi tentang sebuah jet persendirian dijadualkan berlepas ke Indonesia pada pukul 10.00 pagi ini dengan beliau dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, disenaraikan sebagai penumpang.

Laporan media menyebut kapal terbang Legacy 650 itu dimiliki sebuah syarikat Indonesia kepunyaan tokoh perniagaan negara itu yang dikaitkan dengan Najib dan urus niaga Felda. Menurut laman web pengesan penerbangan, kapal terbang itu dijadualkan berlepas dari lapangan terbang Subang tengah hari semalam.

Laporan lain menyebut pasport Najib dan isteri mungkin dimasukkan ke dalam senarai hitam, dan terdapat keraguan sama ada beliau boleh keluar negara.

Ramai petugas media menunggu pelepasan beliau dari Subang sejak 6.00 pagi tadi, 3 hari selepas disingkirkan daripada jawatannya, dan di celah-celah amaran oleh pemimpin Pakatan Harapan yang baru membentuk kerajaan tentang kemungkinan beliau diambil tindakan berikutan penglibatannya dalam skandal kewangan 1MDB.

Di Twitter Najib menulis:

“Selepas 4 dekad terlibat dalam politik dan kempen pilihan raya baru-baru ini, yang malangnya bersifat peribadi dan barangkali juga paling sengit dalam sejarah Malaysia, saya akan bercuti pendek bagi meluangkan masa dengan keluarga yang begitu kurang saya layani sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Rakan dalam Barisan Nasional dan saya komited untuk menghormati kehendak rakyat dan melancarkan proses peralihan kuasa. Kepentingan terbaik Malaysia dan rakyatnya akan sentiasa menjadi keutamaan dan saya bertekad untuk terus memberi khidmat kepada kedua-duanya atas apa jua kapasiti yang ada.

“Saya berdoa selepas tempoh perpecahan ini, negara kita akan kembali bersatu. Saya mohon maaf atas kekurangan dan kesilapan. Saya berterima kasih kepada rakyat Malaysia atas peluang yang diberikan untuk memimpin negara hebat ini. Ia adalah penghormatan besar kepada hidup saya untuk berkhidmat kepada anda dan Malaysia.”