Sekarang tiada peguam negara, kata Dr M

PETALING JAYA: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata buat masa sekarang negara “tidak mempunyai peguam negara”, dan beberapa nama kini sedang dipertimbangkan bagi mengisi jawatan itu.

Dr Mahathir berkata, kerajaan mengenakan sekatan tertentu ke atas sejumlah orang yang mungkin terbabit dalam dalam salah laku, atau membuat keputusan yang tidak betul di bawah pentadbiran terdahulu.

“Jadi buat masa ini kita tak ada peguam negara. Kita sedang menimbang beberapa nama tetapi kita perlu mengkaji kesesuaian calon,” katanya kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di sini.

Semalam Dr Mahathir dilaporkan berkata kerajaan akan menyiasat agensi tertentu serta peranan orang berkenaan seperti peguam negara dengan tujuan mencari mereka yang menunjukkan kecenderungan untuk melakukan rasuah atau mereka yang melakukan perbuatan rasuah.

Dalam perkembangan berkaitan, Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali enggan mengulas kenyataan perdana menteri yang memberi bayangan tentang pemecatannya.

“Adalah lebih baik saya tidak komen. Terima kasih,” katanya ketika dihubungi.