Tidak, PBB tak akan sertai PH, kata menteri Sarawak

Karim berkata PBB sedia menghadapi cabaran sebagai kerajaan pembangkang. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Seorang menteri kerajaan Sarawak hari ini menolak komen 2 pemimpin pembangkang mengenai spekulasi PBB mungkin menyertai Pakatan Harapan.

Menjawab kenyataan Pengerusi PKR Baru Bian dan pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, tidak ada apa-apa rundingan antara PBB dengan PH.

“Saya tertawa mendengar kenyataan tiba-tiba Chong dan Baru menolak percubaan untuk menerima parti dalam gabungan Barisan Nasional (BN) Sarawak, terutama PBB ke dalam PH.

“Mereka berdua sehingga berkata menerima parti seperti PBB adalah ‘sama seperti menerima Umno menyertai PH’,” kata Karim.

“PBB dan rakan gabungan di peringkat negeri seperti SUPP, PRS dan PDP adalah kerajaan pemerintah Sarawak, sementara DAP dan PKR adalah pembangkang.”

Dalam kenyataan mereka, Baru dan Chong merujuk laporan tentang pertemuan antara Pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad dan Yang di-Pertua Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud semalam.

Laporan menyebut Taib akan menasihati Ketua Menteri Datuk Abang Johari Openg untuk mengadakan mesyuarat dengan wakil rakyat BN di negeri itu Rabu depan.

Pemimpin pembangkang negeri itu berkata, perundingan dengan PBB untuk menyertai kerajaan baru di peringkat pusat merupakan pengkhianatan kepada rakyat Sarawak yang mengundi DAP dan PKR pada pilihan raya umum 9 Mei lepas.

Bersedia hadapi cabaran baru

Karim berkata sebagai parti matang yang wujud lebih 50 tahun, PBB pernah melalui banyak halangan.

“Kita mampu untuk menghadapi cabaran baru,” katanya, merujuk kepada kedudukan BN sebagai pembangkang di peringkat pusat.

Beliau berkata PBB menghormati hak demokrasi rakyat Malaysia, terutama mereka di Semenanjung yang mahu menukar kerajaan.

“Perbezaan parti yang memerintah di peringkat negeri dan pusat perkara biasa, dan itulah realitinya sejak 2008 di Selangor dan Pulau Pinang yang diperintah oleh PKR dan DAP.

“Bagaimanapun walaupun berbeza parti, adalah biasa kerajaan negeri dan pusat bekerjasama dalam pelbagai bidang.

“Jadi Chong dan Baru tidak perlu memberitahu rakyat bahawa PH tidak perlu bekerjasama dengan kerajaan negeri kerana ia menggambarkan ketidakmatangan pandangan politik mereka,” kata beliau.