Kemenangan PH akan promosikan Islam, kata tokoh G25

PETALING JAYA: Seorang tokoh daripada kumpulan bekas pegawai kanan kerajaan, G25, menyambut kemenangan Pakatan Harapan dengan optimisme terhadap masa depan negara kerana gabungan pemerintah itu cenderung kepada fahaman Islam sederhana.

“Sederhana kita (G25) telah dilabel sebagai liberalisme, pluralisme dan sebagainya. Mereka (PH) akan mempromosikan Islam. Ianya adalah ‘wasatiyyah’ dan ‘maqasid syariah’.

“Ianya bukan dalam bentuk yang Islam yang ekstrem,” kata Datuk Noor Farida Ariffin.

Bekas Ahli Parlimen, Tawfik Ismail pula menyeru kerajaan membantu orang Melayu menjadi lebih yakin diri dan terbuka menghadapi cabaran kesejagatan dengan membubarkan institusi yang menimbulkan ketakutan dan mewujudkan pergantungan dalam diri orang Melayu, seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Biro Tata Negara (BTN).

“Ini dicipta oleh perdana menteri semasa (Tun Dr Mahathir Mohamad), semasa beliau memegang kuasa dari 1981 hingga 2003. Jika dia mahu memperbaiki kerosakan, dia harus membubarkannya,” katanya.

Tawfik seterusnya menggesa Dr Mahathir mengembalikan pentadbiran agama kepada negeri, agar Putrajaya lebih fokus kepada kemampuan ekonomi orang Melayu.

“Biarkan kerajaan persekutuan lebih sekular untuk orang Melayu bagi meningkatkan kemahiran ekonomi dan perniagaan mereka

“Juga mulakan semula Bahasa Inggeris ke dalam kurikulum untuk membolehkan orang Melayu membaca dan belajar (dalam bahasa itu), seperti yang beliau nasihatkan dalam wawancaranya dengan Sumiko Tan dari Straits Times Singapura,” katanya.

Isu ekstremisme agama sering timbul sepanjang pentadbiran Datuk Seri Najib Razak, ditandai pertikaian seperti usul persendirian Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mahu meningkatkan kadar hukuman maksimum bagi kesalahan syariah, dan dasar menerima pelanggan beragama Islam sahaja oleh beberapa pengusaha perniagaan Bumiputera.