TMJ kata slogan Muafakat Johor sejak 1885 selepas PH cadang ‘Harapan Johor’

PETALING JAYA: Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata slogan Muafakat Johor digunakan sejak tertubuhnya negeri Johor pada 1885, selepas pentadbiran Pakatan Harapan dilapor mahu menukarnya kepada “Harapan Johor”.

TMJ berkata demikian dalam kenyataan terbarunya di laman rasmi Johor Southern Tigers.

“Muafakat itu berkat,” tambahnya ringkas.

Sementara itu, Menteri Besar Datuk Osman Sapian ketika dihubungi belum mahu mengulas perkara itu buat masa ini.

“Saya akan beri keluarkan kenyataan nanti,” katanya.

Semalam media melaporkan Osman sebagai berkata slogan Muafakat Johor yang digunakan kerajaan negeri sebelum ini akan ditukar kepada Harapan Johor bagi mengikut acuan dan cara kepimpinan baharu.

Osman menanmbah pentadbirannya masih menghormati istilah Bangsa Johor” kerana ia wujud sejak dulu lagi.

“Apa salahnya dengan istilah Bangsa Johor. Semua yang lahir di Johor, kita adalah Bangsa Johor. Lagu negeri ini juga bertajuk Lagu Bangsa Johor,” katanya.