Kami tahu Jho Low di mana, kata Dr Mahathir

Dr Mahathir berkata, bukan tugasnya untuk menahan Jho Low.

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan berjaya mengesan lokasi ahli perniagaan kontroversi yang dikaitkan dengan isu 1MDB, Low Taek Jho atau Jho Low.

Bagaimanapun, katanya, permohonan mengekstradisi Jho Low belum dikemukakan kerana kerajaan tidak dapat melakukan semua perkara serentak, tetapi berjanji semua salah laku kerajaan terdahulu akan disiasat.

“Secara asasnya, kami sudah tahu di mana dia (Jho Low). Namun, bukan kerja saya untuk tangkap orang,” katanya dalam sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana, hari ini.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata, beberapa individu lain turut disenarai hitamkan daripada keluar negara, selain bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.

Pengerusi Pakatan Harapan itu mengesahkan penganalisis politik, Abdul Razak Baginda yang pernah didakwa atas tuduhan membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu pada 2006, tiada dalam senarai siasatan terhadap individu yang disyaki terbabit dalam kegiatan jenayah.

“Setakat ini, namanya tidak timbul.”

Sementara itu, Dr Mahathir berkata, beliau sudah mengarahkan ketua setiausaha di semua kementerian supaya tidak membawa keluar atau membakar dokumen kerajaan.

“Kita sedang siasat, setiap dokumen tidak boleh diambil keluar atau dibakar. Kita kena ikut peraturan.”