Shahrir Samad letak jawatan pengerusi Felda

Shahrir berkata, beliau menghantar surat peletakan jawatannya kepada Dr Mahathir.

KUALA LUMPUR: Tan Sri Shahrir Abdul Samad mengumumkan peletakan jawatan sebagai pengerusi Felda berkuat kuasa hari ini.

Beliau dalam kenyataan hari ini berkata, surat peletakan jawatannya dihantar kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Memandangkan saya dilantik sebagai pengerusi Felda oleh kerajaan sebelum ini, adalah wajar untuk saya melepaskan jawatan dalam institusi yang diterajui kerajaan baharu,” katanya.

Shahrir dilantik menjadi Pengerusi Felda pada 6 Januari 2017 menggantikan Tan Sri Isa Abdul Samad yang dilantik sebagai pengerusi Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV).

Shahrir yang bertanding pada pilihan raya umum ke-14 gagal mempertahankan kerusi Parlimen Johor Bahru apabila ditewaskan Akmal Nasrullah Mohd Nasir daripada PKR dengan majoriti 19,782 undi.

“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada seluruh warga Felda atas sokongan dan kerjasama baik sepanjang perkhidmatan saya sebagai Pengerusi Felda dalam usaha membawa Felda balik ke asal,” katanya.

Beliau berkata, dalam tempoh perkhidmatannya di Felda, pelbagai penambahbaikan dalam sistem pentadbiran dan pengurusan Felda diperkenalkannya, termasuk meningkatkan tadbir urus Felda dan mendapatkan semula keyakinan peneroka untuk kembali kepada sistem pengurusan Felda supaya pengurusan kebun dan komuniti dapat dilaksanakan dengan kemas serta efektif.

“Melalui inisiatif Muafakat Felda yang diperkenalkan pada Ogos 2017, seramai 105,294 peneroka kembali bermuafakat bersama Felda sehingga Mei 2018.”

Penambahbaikan lain ialah mendapatkan semula pemilikan tanah Jalan Semarak yang terlepas kepada pemaju Kuala Lumpur Vertical City sejak 2016.

Katanya, semua 16 lot tanah terlibat dipindah milik dan didaftarkan semula atas nama Felda pada 8 Mac lepas.

“Bergerak ke hadapan, saya turut memperkenalkan Felda 2.0 bagi menaik taraf pelbagai kemudahan dalam rancangan Felda untuk generasi baharu agar setanding kemudahan di bandar.”