Aktivis berpesan pada tukang masak Kamunting tentang skandal pertahanan

PETALING JAYA: Aktivis hak asasi Kua Kia Soong menasihatkan Menteri Pertahanan Mohamad Sabu tentang cabaran yang menantinya, menggesa beliau tidak untuk membeli belah senjata besar-besaran, dan menjalankan audit ke atas aset pertahanan.

Kua mengimbau kembali kenangan bersama pemimpin Amanah itu, yang dikenali sebagai Mat Sabu, sebagai tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri.

Mereka ditahan bawah undang-undang kuku besi itu dalam Operasi Lalang 1987, bersama ratusan aktivis dan ahli politik lain, yang kebanyakannya ditahan di Kem Tahanan Kamunting, Perak.

“Tahniah kepada tukang masak kami di Kem Tahanan Kamunting semasa Ops Lalang, Mat Sabu, kerana dilantik sebagai menteri pertahanan kita yang baru,” kata Kua, seorang bekas Ahli Parlimen DAP, di Facebook.

Tetapi Kua tidak bersetuju dengan cadangan mengatakan pelantikan bekas pemimpin PAS itu sesuai dengan imej “Rambo”, merujuk kepada watak Hollywood lakonan Sylvester Stallone.

“Mat Sabu yang saya kenali seorang yang berperwatakan kuat tetapi lembut dalam banyak perkara. Saya menggesa beliau untuk tidak membawa model ‘Rambo’ tetapi mempromosikan budaya keamanan sebagai dasar pertahanan Malaysia baru,” katanya.

Mat Sabu dinamakan untuk portfolio pertahanan, salah seorang dari 3 menteri yang dinamakan setakat ini oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Susulan pelantikannya, bekas pemimpin PAS itu, yang dikenali dengan kemahiran berucap dan kemampuan menarik hadirin yang ramai berkata, tugas pertama ialah menyiasat dakwaan urus janji penswastaan tanah tentera kepada syarikat milik 3 individu.

Kua berkata ada banyak perkara lain yang juga perlukan perhatian, mengatakan Mat Sabu perlu menyiasat “rungutan tentang skandal” termasuk pembelian 2 kapal selam Scorpene semasa Najib menjadi menteri pertahanan.

“Rakyat perlukan jaminan skandal seperti itu tidak akan berlaku lagi, dan jaminan menteri pertahanan akan mengkaji keutamaan pertahanan negara,” katanya.

Kua, seorang pengkritik Dr Mahathir, memberi amaran kepada Mat Sabu tentang kontraktor-kontraktor senjata Perancis dan British yang cuba menjual “permainan” seperti jet pejuang Rafale dan Typhoon, dan menambah pembelian senjata besar-besaran boleh dikesan dari zaman Dr Mahathir mentadbir kerajaan 3 dekad lalu.

Ini termasuk urus janji senjata bernilai RM5 bilion yang ditandatangani bersama dengan perdana menteri British ketika itu, Margaret Thatcher pada 1989, untuk membeli 2 kapal perang pada harga RM2.2 bilion.

“Jadi, bagaimana keputusan dibuat di Kementerian Pertahanan untuk membeli kapal selam, korvet dan fregat daripada membeli lebih banyak bot peronda untuk menjaga perairan negara? Ahli Parlimen harus tuntut jawapan,” kata Kua.