Orang Asli desak PM jangan terima wakil rakyat BN

Nasir (tengah) bersama pemimpin masyarakat orang Asli Kelantan.

PETALING JAYA: Masyarakat Orang Asli Kelantan mendesak kerajaan Pakatan Harapan (PH) menolak permohonan masuk wakil rakyat Barisan Nasional (BN).

Setiausaha Jaringan Orang Asal SeMalaysia (JOAS), Nasir Dollah yang mewakili masyarakat orang Asli Kelantan mendakwa wakil rakyat BN menyertai PH bertujuan melindungi periuk nasi sendiri susulan kejatuhan kerajaan Datuk Seri Najib Razak 9 Mei lalu.

“Kami masyarakat Asli Kelantan sama sekali tidak menyokong mana-mana pihak yang lompat parti dan masuk Pakatan Harapan. Mereka telah bersubahat dengan pemimpin BN. Kita faham mereka ada kepentingan sebab itu mereka selalu tidak hirau kesusahan rakyat tetapi lebih penting diri sendiri,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata PH yang kini peroleh majoriti di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri di beberapa negeri tiada sebab untuk “membela” wakil-wakil rakyat BN yang dulunya menyusahkan Orang Asli dan rakyat seluruhnya.

“Kalau boleh biar mereka membangkang pula. Mungkin mereka akan dapat rasa bagaimana kita telah merasainya dulu sebagai pembangkang,” kata Nasir.

Nasir yang mewakili hampir 20,000 masyarakat Orang Asli di Kelantan juga mendesak kerajaan PH menunaikan janji membela nasib masyarakat itu terutama hak tanah adat.

“Kita berharap kerajaan yang baharu dapat menunaikan segala janji dalam manifestonya sekaligus dapat memberi keyakinan kepada rakyat Malaysia termasuk masyarakat Asli,”katanya.