Peguam: Peguam cara negara boleh tarik balik kes rasuah Guan Eng

Lim dinamakan sebagai menteri kewangan tetapi belum mengangkat sumpah jawatan.

PETALING JAYA: Peguam Cara Negara Datuk Engku Nor Faizah Engku Atek boleh menarik balik pertuduhan rasuah terhadap Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, kata seorang peguam jenayah.

N Sivananthan berkata peguam cara negara, yang menjalankan tugas-tugas dan fugnsi peguam negara, boleh menarikbalik pertuduhan itu atau memohon pelepasan tanpa dibebaskan.

Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali, yang didakwa menyembunyikan bukti tentang hal ehwal 1MDB, diminta bercuti.

“Timbalan pendakwa raya awam, yang mengendalikan kes itu, boleh memaklumkan hakim perbicaraan semasa prosiding mahkamah sekiranya keputusan itu dibuat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semalam berkata Lim hanya boleh dilantik menjadi menteri kewangan secara rasmi selepas dibersihkan daripada kes rasuah yang dihadapinya.

Dr Mahathir menjelaskan Lim hanya dinamakan sebagai menteri kewangan tetapi belum mengangkat sumpah jawatan.

Perbicaraan Lim dijadualkan bersambung semula di Mahkamah Tinggi di Pulau Pinang pada Isnin.

Pada 30 Jun 2016, Lim, 58 dituduh menggunakan kedudukannya sebagai penjawat awam untuk mendapatkan keuntungan bagi dirinya dan isterinya, Betty Chew, dengan meluluskan permohonan penukaran status tanah pertanian kepada zon perumahan kepada syarikat Magnificent Emblem Sdn Bhd.

Lim juga dituduh menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan keuntungan kepada dirinya dengan membeli sebuah banglo di Jalan Pinhorn Georgetown pada harga RM2.8 juta di bawah nilai pasaran RM4.27juta daripada Phang Li Koon pada 28 Julai 2015.

Phang dituduh bersubahat dengan Lim.

Kedua-dua Lim dan Phang mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan tersebut. Seramai 25 saksi dipanggil oleh pihak pendakwa yang diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Masri Mohd Daud. Seramai 55 saksi dijangka dipanggil untuk memberi keterangan.

Sivananthan berkata Lim tidak boleh didakwa lagi selepas pertuduhan ditarik balik.

“Peguam kerajaan boleh memohon pada mahkamah untuk pelepasan tanpa dibebaskan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Bagaimanapun, beliau merasakan pasukan peguam Lim akan bertegas mahukan pembebasan dengan memberi alasan-alasan tertentu dan terpulang pada hakim untuk membuat keputusan.

Sivananthan berkata permohonan menarik balik pertuduhan atau memohon pelepasan tanpa dibebaskan oleh pihak pendakwaan adalah perkara biasa kerana ia atas budi bicara peguam negara, yang juga pendakwa raya awam, selepas meneliti bukti.

Sementara itu, peguam SN Nair berkata tiada peruntukan dalam undang-undang menyatakan Lim mesti meletak jawatan apabila didakwa dengan pertuduhan jenayah.

“Dia dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah di mahkamah,” katanya, dan berkata peguamnya juga boleh memohon peguam negara untuk mengkaji semula kes itu.

Peguam R Kengadharan berkata percanggahan kepentingan boleh berlaku jika Lim dijadikan menteri kewangan ketika berdepan pertuduhan itu.

“Jawatan yang dipegangnya boleh menyebabkan dia bertembung dengan badan kehakiman dan agensi pendakwaan semasa meluluskan peruntukan dan semasa menyediakan belanjawan tahunan,” katanya.