PH takkan terima ahli BN, kata Dr M

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata rakyat tidak mahu kerajaan baru ini nampak seperti kerajaan lama.

PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Pakatan Harapan (PH) tidak akan menerima kemasukan ahli dan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) dalam gabungan 4 parti itu.

“Ada ramai dari parti lawan (BN) yang kalah ingin masuk dalam parti PH, kemasukan mereka itu tidak boleh diterima majoriti rakyat sebab itu mereka tidak harus diterima,” katanya pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana, hari ini.

Pengerusi PH itu berkata, gabungan itu tidak mahu bertindak seperti BN yang gemar menerima kemasukan ahli dari parti lawan dan rakyat tidak mahu ahli politik kerajaan lama mempengaruhi kerajaan baru.

“Mereka hanya boleh isytihar keluar parti dan secara individu menyatakan sokongan kepada parti kerajaan (PH), tetapi bukan ahli.

“Rakyat tidak pandang baik kepada ahli politik daripada kerajaan sebelum ini untuk menyertai PH kerana tidak mahu kerajaan baru ini nampak seperti kerajaan lama. Oleh itu, penyertaan mereka tidak boleh diterima.”