Dr M kata serbuan rumah Najib kerja polis

PETALING JAYA: Tindakan polis merampas beberapa barangan peribadi seperti beg tangan, pakaian serta hadiah dari kediaman bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak di Taman Duta awal hari ini adalah urusan polis, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Itu kerja polis,” kata perdana menteri pada sidang media di Ibu Pejabat PPBM.

Beliau berkata polis mempunyai alasan untuk membuat serbuan itu.

Lebih 10 kenderaan polis termasuk trak tiba di kediaman Najib pada kira-kira 10.15 malam tadi selepas beliau pulang daripada menunaikan solat tarawih di Masjid Kampung Baru.

Peguam Najib, Datuk Harpal Singh Grewal memaklumkan sebuah lagi kediaman peribadi bekas perdana menteri iaitu pangsapuri mewah di Jalan Raja Chulan turut menjadi lokasi carian polis.

Polis dilihat membawa keluar beberapa barangan dan kotak yang tidak diketahui kandungannya dalam operasi yang berakhir sekitar 3.00 pagi.

Pihaknya percaya barangan itu diambil bagi tujuan siasatan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor turut disenaraihitam Jabatan Imigresen daripada meninggalkan negara.

Selasa lepas, Dr Mahathir berkata beliau menjangka pertuduhan akan dikenakan terhadap Najib susulan penyiasatan terhadap dakwaan bekas perdana menteri itu menyeleweng beratus juta dolar daripada dana 1MDB.