Majlis Penasihat bertemu KWSP, Khazanah berhubung isu tol

Shahril Ridza Ridzuan berkata masih terlalu awal untuk menentukan sama ada pelaburan KSWP akan terjejas.

KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata penyelesaian holistik diperlukan bagi menyelesaikan isu lebuh raya bertol.

Bercakap kepada pemberita selepas mesyuarat dengan Majlis Penasihat Kerajaan dan pihak berkepentingan lain berhubung isu tol, Shahril ditanya adakah matlamat utama ialah memansuhkan tol dalam 100 hari pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

“Saya berpendapat ia tidak semestinya begitu. Saya fikir apa yang kami cuba capai adalah penyelesaian holistik untuk lebuh raya bertol.

“Kita harus ingat sejumlah wang yang besar dilabur menerusi pasaran modal dan terdapat keperluan agar ada sedikit keseimbangan dalam situasi ini,” katanya.

Apabila ditanya sama ada pelaburan KWSP akan terjejas, Shahril berkata masih terlalu awal untuk diramal.

Pengarah Urusan Khazanah Nasional, Azman Mokhtar berkata ada cara untuk menangani defisit dalam hasil.

Sementara itu, Pengarah Urusan Khazanah Nasional Tan Sri Azman Mokhtar berkata perbincangan yang baik baru sahaja selesai dengan Majlis Penasihat Kerajaan.

Bercakap kepada pemberita selepas mesyuarat itu, Azman berkata perbincangan mengetengahkan fakta dan isu, dan bagaimana untuk menyelesaikan isu tol sebagaimana yang dijanjikan kerajaan.

Bagaimanapun, beliau enggan memberikan butiran.

Berkenaan reformasi fiskal, Azman berkata terdapat banyak cara untuk menangani defisit dalam hasil tetapi masih terlalu awal untuk mengulas.

Selain KWSP dan Khazanah, difahamkan wakil dari Lebuhraya Plus dan United Engineers Malaysia (UEM) juga turut hadir mesyuarat itu.

Awal hari ini, dilaporkan kerajaan PH mungkin kini akan menumpukan pada pemansuhan tol, selepas GST ditetapkan pada kadar sifar bermula 1 Jun ini.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir bulan lepas berkata kerajaan PH akan memansuhkan caj tol seluruh negara secara berperingkat.

Katanya, tol hanya akan dimansuhkan berdasarkan kontrak yang ditandatangan oleh kerajaan dengan pihak konsesi.

PH dalam manifesto pilihan rayanya berikrar akan memansuhkan kutipan tol dan GST.

Kementerian Kewangan mengumumkan GST akan digantikan dengan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).