Rogol teman wanita bawah umur, kelindan lori dipenjara 5 tahun

PETALING JAYA: Seorang kelindan lori dihukum penjara 5 tahun dan 2 sebatan oleh Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan merogol teman wanita yang berusia 14 tahun sehingga mangsa melahirkan anak lelaki.

Hakim Datin Fadzlin Suraya Mohd Suah menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Shahrul Imam Abdul Rahman, 21, selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah merogol pelajar Tingkatan 2 itu dan mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 17 Oktober 2016.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Desa Mentari pada 5.00 petang, 3 Mac 2016 mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Asyraf Ashy’ari Kamaruzaman memohon hukuman berat terhadap tertuduh mengambil kira kekerapan kes rogol membabitkan kanak-kanak bawah umur.

“Kejadian yang berlaku ini memberikan kesan terhadap anak tertuduh kerana dalam Islam status anak tersebut tidak diiktiraf,” katanya.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan dia perlu menanggung ibu bapanya selain perlu menjaga bayi yang dilahirkan oleh teman wanitanya.

“Saya mohon diberikan peluang kedua kerana saya ingin bertanggungjawab atas kesalahan yang dilakukan,” katanya.