Azmin tak tahu dilantik menteri, perlu lepaskan Selangor atau Putrajaya

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak tahu namanya akan diumumkan untuk jawatan menteri hal ehwal ekonomi sehinggalah terbaca senarai dari Pejabat Perdana Menteri.

“Saya tidak mendapat maklumat itu sehingga sebentar tadi. Saya pun dimaklumkan setiausaha negeri tentang pengumuman yang dibuat sebentar tadi. Memang saya dimaklumkan untuk memain peranan di peringkat persekutuan tapi tidak dimaklumkan tentang kementerian,” katanya kepada pemberita di majlis berbuka puasa bersama Sultan Selangor di Shah Alam malam tadi.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kerana memberikan kepercayaan untuk menerajui sebuah kementerian kanan.

Azmin mengakui beban tugas portfolio persekutuan itu sudah tentu amat besar, “memandangkan usaha-usaha untuk memulihkan ekonomi negara pada hari ini”.

“Saya akan adakan pertemuan dengan perdana menteri secepat mungkin, mungkin pada malam ini juga, untuk mendapat penjelasan yang lebih lanjut tentang skop tugas yang diamanahkan kepada saya,” katanya.

Beliau berkata hasil pertemuan dengan Dr Mahathir akan dibincangkan dengan Sultan Sharafuddin Idris Shah esok, “untuk memutuskan peranan dan tanggungjawab yang perlu saya mainkan”, sama ada di Selangor atau Putrajaya.

Azmin mengesahan dia perlu melepaskan jawatan yang disandang atau tawaran yang diterima.

“Sudah tentu tidak boleh (memegang 2 jawatan serentak),” katanya.

Kekal atau lepas jawatan MB, Azmin temui Sultan Selangor esok