Penyokong temui Najib di rumahnya

Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Kota Raja, Nazilah Idris ditemui di luar rumah Najib.

KUALA LUMPUR: Beberapa penyokong Datuk Seri Najib Razak menemui bekas perdana menteri itu di kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta, hari ini ketika polis meneruskan siasatan dalam premis terbabit.

Mereka termasuk bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said, bekas menteri pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan bekas timbalan menteri pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi.

Tiada seorang pun bercakap kepada media yang berkampung di luar kediaman Najib, sejak operasi itu bermula malam Rabu lalu.

Namun, Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Kota Raja, Nazilah Idris berkata bekas pengerusi Barisan Nasional itu tetap tenang menghadapi siasatan ke atasnya.

“Saya sangat terharu kerana Datuk Seri Najib seorang yang melayan dengan cara yang baik dan tidak menghalang (polis menjalankan tugas).

“Kalau seseorang itu bersalah ataupun rasa bersalah dan buat salah, mesti dalam keadaan yang tak boleh tenang macam ini,” katanya kepada pemberita.

Beliau turut mempertahankan Najib yang disiasat pihak berkuasa mengenai hubungannya dengan 1MDB dan menyifatkan Najib sebagai “bangsawan” kaya sebelum beliau menjadi perdana menteri.

“Apa yang nak dipertikaikan tentang beg ataupun barang kemas yang dapat diambil oleh pihak polis?

“Tak perlu dipertikaikan. Bukan dia sahaja atau siapa-siapa sahaja yang boleh membeli dan boleh memakai jenama-jenama macam tu dan saya rasa tak perlu jadi isu kerana ia tidak ada kaitan pun dengan 1MDB.”

Mahdzir Khalid melambai ke arah wartawan sebelum memasuki rumah Najib.

Awal pagi tadi, polis merampas 284 beg tangan, termasuk jenama Birkin dan 72 bagasi berisi wang tunai serta barang kemas di 3 kondominium mewah sekitar Bukit Bintang, sebagai sebahagian siasatan dikaitkan dengan 1MDB.

Lima trak polis digunakan untuk mengangkut semua barang rampasan itu.

5 lori, 284 kotak beg tangan, 72 beg wang tunai, dan 1 peti besi belum buka