SKMM: Sudah tiada keperluan sekat Sarawak Report, Medium

Dalam kes Sarawak Report dan Medium, tiada lagi keperluan untuk menyekat apabila laporan 1MDB menjadi umum, kata SKMM.

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menegaskan tindakan untuk menyekat mana-mana laman sesawang berpandukan kepada undang-undang negara dan demi ketenteraman awam.

SKMM dalam satu kenyataan yang dimuat naik di akaun facebooknya hari ini berkata, kandungan bersifat lucah, mempunyai unsur mengancam mahupun jelik akan disekat berdasarkan aduan orang ramai.

“Bagaimanapun, sekatan yang dibuat akan diteliti semula dan jika sebab atau kriteria untuk menyekat tidak lagi terpakai. Sejajar dengan impak dan kesan semasa, maka sekatan tersebut akan ditarik balik. Dalam kes Sarawak Report dan Medium, tiada lagi keperluan untuk menyekat apabila laporan 1MDB menjadi umum,” tambah MCMC.

Pada Selasa lepas, Ketua Audit Negara Tan Sri Madinah Mohamad mengumumkan pengauditan 1MDB yang dikelaskan sebagai rahsia pada 22 Jan 2016 kini dikategorikan semula sebagai Dokumen Terbuka.

Jelas SKMM, dalam hal laman sesawang live.undi.info pula, aduan-aduan yang diterima daripada orang ramai antara lain mendakwa keputusan atau maklumat dipaparkan di laman berkenaan dilihat kurang tepat.

Bagaimanapun selepas meneliti semula kandungan-kandungan yang disiarkan, sekatan ditarik balik memandangkan kriteria yang digunakan untuk proses sekatan sebelum ini sudah tidak terpakai dalam situasi semasa, kata SKMM.