Ali Rustam simpati Najib disiasat pihak berkuasa

Ali Rustam (baju merah) berkata, lebih ramai ketua bahagian Umno akan melawat Najib.

KUALA LUMPUR: Bekas ketua menteri Melaka, Tan Sri Ali Rustam simpati dengan keadaan Datuk Seri Najib Razak yang sedang disiasat pihak berkuasa berhubung skandal 1MDB.

“Saya doakan beliau sihat dan dapat menghadapi perkara ini dengan penuh kesabaran,” katanya selepas menemui Najib di kediaman bekas perdana menteri itu di Jalan Langgak Duta, tengah hari ini.

“Saya memang nak datang jam 3 (petang), tapi ada mesyuarat di Kuala Lumpur pagi ini, jadi saya terus datang, petang nanti ramai lagi ketua bahagian akan datang.”

Ali datang bersama beberapa pemimpin Umno Melaka, termasuk Ketua Puteri Umno yang juga bekas timbalan menteri pelancongan dan kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Mas Ermieyati berkata, beliau gembira melihat Najib yang sihat dan masih bersikap positif.

“Kami ingat nak bagi nasihat kepada Datuk Seri Najib, tapi dia yang bagi semangat kepada kami.

“Sebagai pemimpin muda dalam Umno, saya rasa amat sukar untuk saya jika berada dalam situasi ini, tapi ini adalah kelebihan dan semangat yang ditunjukkan beliau.”

Beliau berkata, Najib turut berpesan kepada semua ahli Umno untuk meneruskan perjuangan.

“Beliau merujuk kepada perjuangan Rasulullah, walaupun 5 sahabat sekalipun (mereka) tetap berjuang. Itu perumpamaan yang diberikan.”

Mas Ermieyati Samsudin (tengah) diiringi pemimpin Umno dan Puteri.

Mengenai keadaan Datin Seri Rosmah Mansor, katanya, beliau juga dalam keadaan baik.

“Kami sempat bersembang dan dia baik-baik sahaja,” katanya.

Terdahulu, lebih 10 ahli akar umbi Umno Pahang menemui Najib di rumahnya untuk memberi sokongan moral kepada beliau dan Rosmah.

Lebih 10 ahli Umno Pahang hadir memberi sokongan moral kepada Najib.

Pemimpin lain yang hadir kemudian ialah Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Puad Zarkashi, Datuk Ab Aziz Kaprawi, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Ketua Umno Bahagian Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Ketua Umno Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman dan Ketua Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar.

Semalam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mengarahkan Najib ke pejabat agensi anti rasuah itu, Selasa depan, untuk memberi keterangan dalam kes SRC International Sdn Bhd, anak syarikat 1MDB.

Ia selepas Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman menjalankan pemeriksaan serentak sejak malam Rabu lalu di 6 premis, iaitu 3 unit kondominium mewah di Jalan Raja Chulan, kediaman peribadi Najib di Taman Duta, pejabatnya di Jabatan Perdana Menteri dan kediaman rasmi perdana menteri di Seri Perdana, Putrajaya yang digunakan Najib sejak 2009.

Hasil pemeriksaan itu menyaksikan polis merampas 284 kotak mengandungi beg tangan pelbagai jenama mewah dan 72 beg berisi barangan kemas, pelbagai jenis mata wang dan barangan berharga.