Ideas: Maszlee berpengalaman luas, layak jadi menteri pendidikan

Ali Salman berkata, Maszlee menunjukkan komitmen terhadap isu pendidikan yang memberi kesan kepada masyarakat melalui penglibatannya dalam Lembaga Pengelola Pusat Autisme Ideas dan beberapa NGO. (Gambar Facebook)

KUALA LUMPUR: Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) mengalu-alukan pelantikan Maszlee Malik sebagai menteri pendidikan dan menyifatkan beliau berpengalaman luas dalam bidang pendidikan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ali Salman mengucapkan tahniah dan berkata Maszlee ialah seorang yang berprinsip dan akan bersuara mengenai isu kritikal secara terbuka.

Ahli Parlimen Simpang Renggam itu menyuntik idea baharu untuk sistem pendidikan negara semasa berkempen dengan mencadangkan sistem sokongan seperti “teaching assistant”, mengecilkan kelas dan meringankan beban guru.

“Beliau juga menunjukkan komitmen terhadap isu pendidikan yang memberi kesan kepada masyarakat melalui penglibatannya dalam Lembaga Pengelola Pusat Autisme Ideas dan NGO lain seperti Teach for the Needs (TFTN) dan Pusat Pendidikan Downsyndrome Orkids.”

Ali yang juga ketua pegawai eksekutif Islam and Liberty Network, platform penyelidik dan ahli akademik global berkata, Maszlee secara aktif menyumbang dalam perdebatan mengenai Islam dan isu dasar dengan menyampaikan interpretasi inklusif, plural dan liberal tentang Islam.

Katanya, Maszlee menunjukkan komitmen kepada Ideas pada masa lalu apabila beliau mengadakan kursus pendek mengenai ekonomi politik pada 2014.

Ideas sebelum ini menerbitkan kertas kerja mengenai topik pilihan sekolah, autonomi sekolah dan pelajar tercicir sekolah serta 4 kertas mengenai autonomi dalam pendidikan tinggi.

“Kami menaruh harapan untuk bertemu dengan menteri pendidikan baharu untuk membincangkan isu ini dan diharapkan dapat mempengaruhi perdebatan dasar berkaitan pendidikan di Malaysia.”