PKR, DAP patut dapat lebih banyak jawatan, kata kumpulan pro-Anwar

Sanjay (kanan) berbual dengan ahli Otai Reformasi di Seberang Jaya. Mereka mahu lebih ramai wakil rakyat PKR dan DAP dilantik sebagai menteri.

BUTTERWORTH: Sebuah kumpulan reformasi yang menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) lebih adil kepada PKR dan DAP dalam pelantikan Kabinet baru.

Timbalan Ketua Otai Reformasi Pulau Pinang, S Sanjay berkata, pelantikan menteri persekutuan, senator dan exco di negeri ditadbir PH sepatutnya melambangkan kekuatan sesebuah parti komponen PH dalam pilihan raya umum 9 Mei lepas.

Sanjay yang juga ahli PKR berkata, kumpulan itu berharap Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan mempertimbang untuk memberi lebih banyak jawatan menteri penuh kepada PKR dan DAP.

Jumaat lepas, Dr Mahathir menamakan 13 ahli Parlimen sebagai menteri dalam Kabinetnya, dengan DAP mempunyai 4 menteri, dan masing-masing 3 untuk PPBM, PKR dan Amanah.

Sanjay berkata, Otai Reformasi Pulau Pinang mencadangkan 7 lagi jawatan menteri yang bakal diisi, diberikan kepada ahli Parlimen PKR dan DAP.

Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail perlu melepaskan portfolio wanita dan pembangunan keluarga kepada pemimpin PKR lain supaya beliau boleh menjalankan tugas sebagai timbalan perdana menteri dan “ketua whip bagi menteri PKR”.

Beliau mencadangkan kerajaan persekutuan mengusulkan 44 senator yang dilantik kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini dipecat, sementara anggota Dewan Negara seramai 70 orang diisi dengan 60 lantikan PH, 4 daripada PAS dan BN (6).

Sanjay juga mendesak Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow mewujudkan 2 lagi jawatan exco untuk diisi adun PKR.

Otai Reformasi ditubuhkan pada 1998 sebagai kumpulan penyokong Ketua Umum PKR, Anwar semasa beliau ditangkap selepas dipecat daripada kerajaan BN ketika itu.