Polis masih ke rumah Najib, dipercayai untuk cari bukti

Keadaan di sekitar rumah Najib di Jalan Langgak Duta, Taman Duta, pagi ini.

KUALA LUMPUR: Sebuah kereta polis memasuki kediaman bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak di Jalan Langgak Duta, Taman Duta, pada 9.45 pagi tadi.

Jumlah kereta polis yang memasuki rumah Najib berkurangan dengan ketara berbanding 3 hari lalu.

Polis dipercayai masih meneruskan proses mencari bukti bagi membantu siasatan kes 1MDB.

Selain kereta polis, beberapa kereta mewah turut memasuki kediaman Najib selang beberapa minit kemudian.

Peguam Najib, Datuk Harpal Singh Grewal juga dilihat baru tiba di kediaman bekas pengerusi Barisan Nasional itu, sebentar tadi.

Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman menjalankan pemeriksaan serentak sejak malam Rabu lalu di 6 premis, iaitu 3 unit kondominium mewah di Jalan Raja Chulan, kediaman peribadi Najib di Taman Duta, pejabatnya di Jabatan Perdana Menteri dan kediaman rasmi perdana menteri di Seri Perdana, Putrajaya yang digunakan Najib sejak 2009.

Hasil pemeriksaan itu menyaksikan polis merampas 284 kotak mengandungi beg tangan pelbagai jenama mewah dan 72 beg berisi barangan kemas, pelbagai jenis mata wang dan barangan berharga.

Semalam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mengarahkan Najib ke pejabat agensi anti rasuah itu, Selasa depan, untuk memberi keterangan dalam kes SRC International Sdn Bhd, anak syarikat 1MDB.