Akademik tak terkejut bantahan Maszlee dilantik menteri pendidikan

Dr Ahmad Farouk Musa mempersoalkan sikap dwistandard mereka yang mempertahankan kebebasan bersuara Zakir Naik, tetapi membantah hak orang Islam mengamalkan mazhab lain.

PETALING JAYA: Aktivis Islam terkenal, Datuk Dr Ahmad Farouk Musa tidak terkejut dengan bantahan terhadap pelantikan Maszlee Malik sebagai menteri pendidikan.

Tetapi, katanya, kebimbangan lebih besar ialah sama ada ahli Jawatankuasa Fatwa Perlis itu mempunyai keberanian untuk meneruskan konsep Bangsa Malaysia dan menghadapi tekanan pelampau dalam sistem persekolahan negara.

“Isu utama ialah sama ada beliau memiliki keberanian yang sama dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam menghadapi 2 kem pelampau di negara ini, pelampau pendidikan Cina dan kelompok pendidik Melayu konservatif,” kata Farouk yang mengetuai Islamic Renaissance Front (IRF) kepada FMT.

Perbincangan berhubung kesesuaian pelantikan Maszlee untuk jawatan itu timbul, sejak pengumuman Perdana Menteri, Dr Mahathir, Jumaat lepas.

Pengkritik mempersoalkan pendirian Maszlee mempertahankan pendakwah kontroversi, Dr Zakir Naik yang dikehendaki di India berhubung dakwaan pengubahan wang dan ekstremisme.

Mereka juga bimbang dengan kecenderungan Maszlee terhadap fahaman Salafi dan hubungan rapatnya dengan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, yang baru-baru ini dipanggil ke panel inkuiri Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mengenai kehilangan aktivis Perlis, Amri Che Mat.

Asri mendakwa Amri ialah pengikut Syiah yang dianggap “sesat” oleh pihak berkuasa agama tempatan.

Maszlee dinamakan menteri pendidikan, selepas Dr Mahathir melepaskan portfolio itu akibat kritikan beberapa pihak.

Penyokong Maszlee pula merujuk latar belakang akademik dan aktiviti sosialnya, dengan ada yang berkata sikapnya mempertahankan Zakir berdasarkan prinsip kebebasan bersuara yang menjadi pegangan bekas pensyarah itu.

Farouk berkata, kritikan itu memang dijangka, tetapi mempersoalkan keterbukaan Maszlee seperti didakwa penyokongnya.

“Jika berhujah mengenai langkah mempertahankan Zakir Naik kerana kebebasan bersuara, maka ini juga menghendaki beliau memberi kebebasan sama kepada pengikut Syiah,” kata Farouk sambil menambah kaitan Maszlee dengan tentangan terhadap Syiah disebabkan kecenderungannya kepada fahaman Salafi.

“Tidak boleh ada dwistandard dalam mengamalkan hak kebebasan bersuara.”

Fahaman Islam Salafi merujuk kepada pendekatan dalam mazhab Sunni yang berkait rapat dengan Wahhabisme, iaitu aliran puritan Islam yang menjadi pegangan rasmi kerajaan Arab Saudi.

Bantahan terhadap PPSMI

Farouk, pensyarah perubatan di Universiti Monash Malaysia yang pernah aktif dalam Forum Profesional Muslim yang turut dianggotai Maszlee berkata, gesaan supaya Dr Mahathir memegang portfolio pendidikan berdasarkan keyakinan awam beliau boleh memulakan pembaharuan radikal dalam sektor itu.

Ini katanya, termasuk desakan kumpulan pendidikan Cina Dong Zong supaya kerajaan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dan tekanan kumpulan Melayu yang menuntut penghapusan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).

“Hanya beliau (Dr Mahathir) mempunyai kekuatan dan keazaman untuk menghadapi isu panas ini,” kata Farouk yang menyokong usaha kerajaan di bawah pimpinan Dr Mahathir sebelum ini bagi menekankan penggunaan bahasa Inggeris di sekolah.

“Bagaimana kita mahu bersaing di pentas antarabangsa sekiranya kita mengabaikan bahasa paling penting dalam sains dan teknologi pada abad ke-21 ini?” soalnya.

Dasar yang diperjuangkan Dr Mahathir, PPSMI dihapuskan pada 2011 oleh menteri pendidikan ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berikutan bantahan kumpulan Melayu.

Langkah itu disambut baik Ikram, sebuah organisasi penaung beberapa kumpulan Islam yang turut dianggotai Maszlee.

“Kami membantah sebarang usaha menghidupkan PPSMI kerana kami percaya keputusan Kementerian Pendidikan itu dibuat berdasarkan kajian dalamannya,” kata kumpulan itu sebelum ini.

Maszlee, 44, menyertai PPBM Mac lepas dan memenangi kerusi Parlimen Simpang Renggam di Johor dalam pilihan raya 9 Mei lalu.

Bekas pensyarah perundangan Islam di Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) itu dinamakan menteri pendidikan, selepas Dr Mahathir melepaskan portfolio itu akibat kritikan beberapa pihak.

Dr Mahathir berkata, beliau akan akur kepada janji Pakatan Harapan yang perdana menteri tidak akan memegang portfolio lain.

Tetapi, 24 jam selepas pengumuman itu, lebih 60,000 orang menandatangani petisyen atas talian mendesak Dr Mahathir kembali ke jawatan itu kerana percaya beliau “boleh membawa pembaharuan yang sangat diperlukan kepada sistem pendidikan negara”.

Petisyen capai sasaran, pengkritik bimbang kecenderungan Salafi menteri