Guan Eng: Tiada pertindihan tugas Kementerian Ekonomi, Kewangan

Lim Guan Eng berkata, Kementerian Kewangan seperti biasa akan menguruskan hal berkaitan kewangan.

GEORGE TOWN: Tidak ada sebarang pertindihan tugas di antara Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dan Kementerian Kewangan, kata Lim Guan Eng yang dinamakan sebagai menteri kewangan.

“Saya rasa tidak, Kementerian Kewangan seperti biasa Kementerian Kewangan. Saya rasa di Kementerian Hal Ehwal Ekonomi adalah dasar seperti yang dibuat sebelum ini di bawah JPM (Jabatan Perdana Menteri),” katanya mengulas 2 portfolio berkenaan di sini, hari ini.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu kenyataan sebelum ini mengumumkan nama 9 lagi ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) yang dilantik sebagai menteri persekutuan, termasuk Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai menteri hal ehwal ekonomi.

Lim bagaimanapun berkata, terpulang kepada Azmin yang juga menteri besar Selangor untuk menerima jawatan tersebut.

“Ini pun terpulang kepada Datuk Seri Azminlah, beliau pun ada hubungi saya semalam…beliau belum membuat keputusan lagi, sama ada hendak terima atau lepaskan jawatan menteri besar, jadi kita tunggu keputusan beliau.”

Sementara itu, berhubung pemansuhan tol di jambatan Pulau Pinang pertama yang pernah dijanjikan PH pada pilihan raya umum baru-baru ini, sekiranya berjaya menawan Putrajaya, Lim berkata, apa yang akan dilaksanakan terlebih dahulu adalah janji PH dalam 100 hari.

“Saya sudah sebut sebelum ini, biarlah kita uruskan tentang janji-janji dalam 100 hari. Selepas ini kita akan berikan tumpuan kepada perkara-perkara lain.

“Kita pun kena memberikan pertimbangan penyata-penyata kewangan yang diumumkan sama ada ia tepat atau tidak, saya rasa kita kena buat semakan dan penyelidikan lebih lanjut, yang mana apa saya lihat nampaknya bukan sepertimana yang diura-urakan, ‘so’ kita kena berhati-hati.”

Beliau berkata, apa yang penting sekarang ialah mendapatkan maklumat kewangan sepenuhnya terlebih dahulu.

“Jadi, biarlah kita dapat maklumat kewangan sepenuhnya dahulu, saya rasa itu lebih pentinglah…kerana kita pun hendak pastikan tidak ada mana-mana maklumat atau fail yang tidak didedahkan.”