Status Azmin sebagai MB Selangor diketahui esok pagi

Kedudukan Azmin sebagai MB Selangor menjadi tanda tanya apabila beliau dinamakan sebagai menteri hal ehwal ekonomi, Jumaat lalu.

PETALING JAYA: Sultan Selangor akan mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai kedudukan Datuk Seri Azmin Ali sebagai menteri besar, pagi esok.

“Istana akan keluarkan kenyataan,” kata Setiausaha Politik Azmin, Mat Suhaimi Shafie kepada FMT.

Sementara itu, Bernama melaporkan Azmin mengesahkan perkara itu selepas menghadap Sultan Selangor di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam, kira-kira 2 jam hari ini bagi membincangkan status jawatannya.

“Saya menghadap Tuanku Sultan hari ini dan menyembah maklum mengenai perkembangan terkini (kedudukan sebagai menteri besar).

“Majlis menghadap berjalan dengan cukup positif dan Tuanku akan mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai kedudukan saya sebagai menteri besar 9 pagi esok,” katanya selepas selesai menghadap Sultan Selangor kira-kira 1.50 tengah hari di perkarangan istana.

Kedudukan Azmin menjadi tanda tanya apabila Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan timbalan presiden PKR itu sebagai menteri hal ehwal ekonomi, Jumaat lalu.

Semalam, Azmin mengadakan pertemuan hampir sejam dengan Dr Mahathir di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya.

Istiadat angkat sumpah jawatan untuk menteri persekutuan dijadualkan berlangsung di Istana Negara, pagi esok.

Azmin dilantik sebagai menteri besar Selangor pada 11 Mei lalu, selepas Pakatan Harapan berjaya mempertahankan negeri ini pada pilihan raya umum lalu.

Dua wakil rakyat Selangor disebut-sebut bakal menggantikannya, iaitu Adun Sungai Tua, Amiruddin Shari dan Adun Seri Setia, Dr Shaharuddin Badaruddin.