Beg tangan Siti Hasmah hanya RM125.10?

(Gambar Facebook)

Beberapa gambar menunjukkan Tun Dr Siti Hasmah memegang beg tangan menjadi tular selepas didakwa ia beg jenama Marie Claire berharga RM125.10 di Zalora.

Walaupun tidak dipastikan sama ada ia benar-benar beg Marie Claire, jenama beg tangan oleh Bata, namun gambar mirip beg tersebut dipercayai daripada jenama berkenaan.

Foto itu dipercayai dirakam ketika lawatan beliau bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad di Perdana Putra, Putrajaya untuk berucap di hadapan kakitangan awam.

Gambar tersebut dikongsi di laman sosial Facebook Kelab Che Det yang dikongsi lebih 1,300 kali selain disukai lebih 10,000 kali.

Segelintir netizen mempersoal kesahihan perkongsian tersebut namun ramai yang akui pasangan itu sememangnya mengamalkan gaya hidup sederhana sejak dulu lagi.

Misalnya, Rothmans M Letterman menulis, “Memang dari dulu lagi Tun dan isteri tak pernah mewah-mewah. Kenderaan kerajaan pun semua guna Proton.”

“Kesederhanaan isteri Tun tetap diberi penghormatan dan disanjungi oleh berbilang lapisan masyarakat… Syabas Tun dan isteri!” tulis Lily Boon pula.

Tidak ketinggalan, ada yang sudah menjangka Lazada dan Marie Claire bakal dipenuhi dengan tempahan bagi beg mirip yang dibawa Siti Hasmah.

“Kejap lagi, Lazada penuh dapat order beg ni… Sold out punya. Handbag mampu milik raya baq hang,” tulis Muhammad Shah Rizal .

Margerita Murib pula menulis,”Benda murah di tangan orang yang baik dan budiman nampak ada kelas tapi benda mahal di tangan orang jahat nampak murah dan lama.”