C4: Contohi Putrajaya, asingkan portfolio kewangan daripada MB, KM

PETALING JAYA: Pusat Membasmi Rasuah dan Kronisme (C4) menyeru semua kerajaan negeri di Semenanjung mengasingkan portfolio kewangan daripada ketua menteri atau menteri besar.

Pengarah Eksekutif C4 Cynthia Gabriel berkata pengasingan itu dijanjikan dalam manifesto pilihan raya Pakatan Harapan (PH) dan diamalkan Kabinet Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Apa yang dijanjikan dalam semangat di peringkat persekutuan juga perlu diamalkan di peringkat negeri.

“C4 mengesyorkan semua kerajaan negeri, terutama di Malaysia Barat turut membuat perubahan yang sama dalam semangat reformasi yang mengangkat PH menjadi kerajaan,” katanya dalam kenyataan.

Cynthia menjawab kenyataan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang tidak melihat sebarang percanggahan kepentingan dalam memegang portfolio kewangan.

Shafie memberi jaminan kepada rakyat Sabah bahawa beliau “mahu memastikan kewangan negeri berada di landasan yang betul”.

“Ini tidak bermakna jika saya memegang kementerian kewangan, akan ada banyak penyalahgunaan,” katanya dipetik sebagai berkata minggu lalu.

Cynthia berkata portfolio kewangan amat terdedah kepada penyalahgunaan, dan risiko itu semakin memburuk kerana banyak negeri juga memiliki dan mengendali firma pelaburan negeri.

Firma ini termasuk Menteri Besar Perak Diperbadankan, Ketua Menteri Pulau Pinang Diperbadakan, Warisan Harta Sabah dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor.

Cynthia berkata banyak kerajaan negeri, yang mengumumkan portfolio exco atau Kabinet, masih mengekalkan amalan portfolio kewangan atau perancangan ekonomi dipegang ketua menteri.

Ini termasuk Sarawak, Selangor, Melaka, Johor dan Terengganu.

Kerajaan Pulau Pinang pula memberi portfolio perancangan ekonomi/kewangan kepada timbalan ketua menteri II.

“Walaupun Sabah secara tidak rasmi sebahagian daripada PH, kami menggesa Shafie mempertimbangkan untuk melepaskan portfolio itu atas sebab tadbir urus yang baik bagi menanam keyakinan dan mengelakkan salah urus pada masa akan datang,” kata Cynthia.

“Jaminan seorang ketua menteri tidak mencukupi. Mereka harus disokong perubahan sebenar iaitu memberikan portfolio itu kepada orang lain dalam Kabinet atau exco negeri.”

Cynthia juga memuji Mahathir kerana mendengar permintaan masyarakat tentang tidak memegang jawatan menteri lain seperti yang dijanjikan manifesto PH.

“Pengasingan sedemikian mempunyai sebab yang jelas dan logik. Jika terdapat apa-apa pengajaran daripada krisis 1MDB, penumpuan kuasa seperti ini membuka jalan bagi penyalahgunaan, dan pengasingan juga perlu diamalkan kerajaan negeri,” katanya.