Putrajaya tubuh semula pasukan khas siasat 1MDB

Ketua-ketua pasukan khas (dari kiri): Tan Sri Abdul Gani Patail, Tan Sri Abu Kassim Mohamed, Datuk Mohd Shukri Abdull and Datuk Abdul Hamid Bador.

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengumumkan penubuhan semula pasukan khas bagi menyiasat 1MDB, 3 tahun selepas ia tiba-tiba ditamatkan susulan pelantikan Tan Sri Mohamed Apandi Ali sebagai peguam negara.

Pasukan itu mengekalkan 2 bekas ahli sebagai ketua bersama: Tan Sri Abdul Gani Patail dan bekas ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Dua ahli baru yang dilantik adalah ketua pesuruhjaya SPRM baharu, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull dan bekas timbalan pengarah Cawangan Khas, Datuk Abdul Hamid Bador.

Jabatan Perdana Menteri dalam kenyataan berkata pasukan khas itu terdiri daripada SPRM, polis, Jabatan Peguam Negara dan Bank Negara Malaysia.

Pasukan khas sebelum ini ditubuhkan pada Mac 2015, lebih kurang 3 bulan sebelum akhbar Wall Street Journal menerbitkan dokumen menunjukkan lebih kurang AS$700 juta didepositkan ke dalam akaun bank peribadi perdana menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak, pada 2013.

Pada 28 Julai tahun sama, Putrajaya mengumumkan Gani tidak lagi memegang jawatan peguam negara, dan Najib mengumumkan rombakan Kabinet yang menyaksikan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan menteri, Datuk Seri Shafie Apdal, digugurkan.

Pasukan khas itu kemudiannya dibubarkan, dan Apandi membersihkan Najib daripada sebarang salah laku dalam menerima sejumlah wang yang besar ke dalam akaunnya.

Putrajaya dalam kenyataan hari ini berkata pasukan khas itu akan bertanggungjawab dalam keseluruhan aspek penyelarasan siasatan, pengesanan kewangan dan pemerolehan aset yang dikaitkan dengan kehilangan dana 1MDB di dalam dan luar negara.

“Pasukan khas ini juga bertanggungjawab untuk mendapatkan kerjasama Amerika Syarikat, Switzerland, Singapura, Kanada dan lain-lain negara yang berkaitan,” kata kenyataan itu.

Putrajaya berharap siasatan baru akan “mengembalikan maruah negara yang tercemar selama ini di samping mengembalikan wang dan aset rakyat Malaysia berikutan skandal klptokrasi hasil salah laku dan penyelewengan dana 1MDB”.