Anwar dan anak berkunjung ke istana Johor

PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam membuat kunjungan ke Istana Pasir Pelangi di Johor bagi menghadap Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Bersama beliau ialah anak sulung Anwar, Nurul Izzah Anwar, yang kini ahli Parlimen Permatang Pauh.

Turut hadir ialah Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Anwar dibebaskan pada 16 Mei lalu, selepas diberikan pengampunan diraja terhadap sabitannya dalam tuduhan liwat membabitkan bekas staf PKR, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Anwar yang juga ketua umum Pakatan Harapan (PH) yang menang pada pilihan raya umum baru-baru ini, akan mengambil alih tampuk kepimpinan kerajaan daripada Tun Dr Mahathir Mohamad dalam masa sekurang-kurangnya 2 tahun.

Semalam, isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, secara rasmi dilantik sebagai timbalan perdana menteri bersama 12 menteri lain.