Ketua Sekretariat PH cadang wujud dasar baharu tajaan pelajar

PETALING JAYA: Ketua Sekretariat Pakatan Harapan (PH), Datuk Saifuddin Abdullah akan menemui Menteri Pendidikan, Maszlee Malik untuk membincangkan cadangan mewujudkan dasar baharu mengenai penajaan pelajar.

“Dasar baharu kena dibuat, terma rujukan kena diadakan.

“Ada beberapa perkara yang saya harap akan dikaji semula atau dinilai (dalam soal penajaan). Pertamanya adakah kita ingin mewujudkan semula biasiswa atau tidak.

“Yang ke-2, berapakah kuantum atau jumlah pelajar yang nak dihantar ke luar negara setiap tahun. Ini semua adalah dasar baharu yang perlu dibuat,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PPBM, hari ini.

Saifuddin yang juga bekas timbalan menteri pengajian tinggi berkata, kerajaan juga perlu menentukan jumlah penajaan dan sasarannya kepada pelajar bidang apa.

Katanya, agensi penajaan seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Pendidikan perlu diberikan peruntukan tambahan.

“Kalau biasiswa dalam negeri juga perlu dikaji semula elaun sara hidup sebab biasiswa itu ada banyak komponen, yuran, elaun sara hidup. Jadi, adakah elaun sara hidup yang sekarang ini memadai?” soalnya.