NFC akan disemak kerana matlamat baik, kata Salahuddin Ayub

PUTRAJAYA: Kementerian akan menyemak projek Pusat Fidlot Nasional kerana mahu memastikan bekalan daging lembu tempatan mencukupi.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub berkata matlamat projek itu baik walaupun pernah mencetuskan kontroversi sebelum ini.

Katanya, satu kertas kerja akan dikemukakan untuk menyemak balik projek itu.

“Saya tidak mahu ulangi kesilapan lalu. Matlamat NFC baik. Kita akan nilai semula tanah projek NFC di Negeri Sembilan dan sebahagian tanah di Segamat Johor,” katanya.

NFC sebagaian daripada rancangan kerajaan untuk menjamin 40% tahap mampu diri bekalan daging dalam program menjamin keselamatan makanan negara.

Beliau berkata kementerian sedia berunding dengan kerajaan Johor dan Negeri Sembilan bagi membincangkan mekanisme projek baharu ini.

“Kita mementingkan bekalan daging tempatan,” katanya.

Syarikat NFC ditubuhkan untuk membangunkan industri daging lembu terancang, bersepadu dan mampan namun kontroversi timbul apabila Pengerusi Eksekutif Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail disiasat dan didakwa atas 2 pertuduhan pecah amanah membabitkan nilai keseluruhan RM49.7 juta.

Mahkamah melepaskan dan membebaskan Salleh daripada semua pertuduhan jenayah pada 25 November 2015.

Buat kakitangan kementerian, Salahuddin berjanji tidak akan campur tangan politik dalam tugasan mereka.

“Contohnya nak ajak orang kementerian kempen politik, mempergunakan mereka ataupun sampai tahap ugut kenaikan pangkat, itu tidak sekali saya izinkan.

“Saya beri jaminan jika mereka dizalimi, mereka dianiaya saya oran pertama membela mereka,” katanya.

Salahuddin juga memberi jaminan para pekerja kontrak di kementeriannya tidak akan dipecat sewenang-wenangnya.

“Saya akan lihat jumlah mereka dan posisi mereka. Jika tidak ada keperluan, kita tidak akan berhentikan tetapi selaraskan tugas untuk tujuan kelancaran atau perancangan lebih baik,” katanya.