Pembunuhan Kevin Morais tiada kaitan dengan 1MDB, kata SPRM

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menepis dakwaan mengatakan pembunuhan seorang timbalan pendakwa raya awam, Kevin Morais, pada 2015 ada kaitan dengan 1MDB.

“Setakat yang saya tahu, Kevin Morais tiada kaitan dengan kes 1MDB,” kata Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Mohd Shukri Abdull pada sidang media hari ini.

Semalam, editor Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown memberitahu The Malay Mail bahawa Kevin membocorkan maklumat kepadanya tentang siasatan Jabatan Peguam Negara ke atas bekas anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd.

Rewcastle-Brown berkata “beberapa sumber boleh dipercayai” memberitahunya bahawa Kevin yang memberikan maklumat tentang siasatan itu.

Kevin dipercayai diculik pada 4 September 2015 dan dicekik sehingga mati.

Jasadnya diletakkan dalam tong berisi semen dan ditemui di Persiaran Subang Mewah, Subang Jaya hampir 2 minggu selepas dia dilaporkan hilang.

Enam orang, termasuk seorang ahli patologi tentera, didakwa atas kematian itu.

Adik Kevin, Charles, dalam satu akuan bersumpah, mendakwa pembunuhan Kevin mempunyai kaitan dengan satu kertas pendakwaan yang disediakan terhadap seorang “pegawai tinggi kerajaan”.

Sarawak Report mendakwa Kevin sedang menyiapkan kertas pendakwaan terhadap perdana menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak berkaitan SRC International, dan dokumen itu membawa diparapnya.

Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali sebelum ini menepis dakwaan Kevin terlibat dalam siasatan 1MDB, mengatakan Kevin dipindahkan ke Jabatan Peguam Negara pada Julai 2014 sebelum skandal meletus.