Raja-raja melayu nafi tidak bertindak, jawab dakwaan bos SPRM

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Syed Danial Syed Ahmad berkata Raja Melayu mengarahkan kerajaan mengambil tindakan tegas yang sewajarnya terhadap pihak yang terlibat. (Gambar Facebook)

KUALA LUMPUR: Raja-raja Melayu memberikan perhatian yang berat berhubung isu 1MDB, kata Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad.

Merujuk kepada kenyataan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Mohd Shukri Abdull pada satu sidang media khas hari ini, Syed Danial berkata susulan itu, Raja-raja menitahkan satu kenyataan pada 6 Oktober 2015 berhubung isu itu.

“Sebenarnya, atas titah Duli Yang Maha Mulia Raja-raja, saya mengundang ketua pesuruhjaya SPRM dan timbalan serta pegawai kanan beliau menghadap baginda sekalian bagi menyembahkan taklimat yang berkaitan.

“Dalam ruang lingkup peranan dan kuasa Raja-raja berlandaskan Perlembagaan, Raja-raja menitahkan untuk satu kenyataan, yang menunjukkan Duli-duli Yang Maha Mulia memberikan perhatian yang berat, dikeluarkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-raja (pada 6 Oktober 2015),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Syed Danial turut melampirkan kenyataan tersebut yang antara lain menyatakan Raja-raja Melayu maklum kerajaan sedang melakukan siasatan dan menegaskan perlunya pihak kerajaan menyelesaikan secepat mungkin penyiasatan yang sedang berjalan itu.

Kenyataan lebih 2 tahun lepas itu turut menyatakan kerajaan hendaklah mengambil tindakan tegas yang sewajarnya terhadap pihak-pihak yang terlibat.

Selain itu, kenyataan itu juga menyatakan Raja-raja Melayu bimbang jika isu itu tidak ditangani dengan bijak serta berlarutan dan memakan masa lama, ia berpotensi menjejaskan keadaan ekonomi negara dan memudaratkan kehidupan rakyat jelata.

Mohd Shukri hari ini mendakwa beliau dan bekas ketuanya di SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed berjumpa dengan beberapa menteri kabinet sebelum ini bagi menyakinkan mereka untuk mengambil tindakan terhadap bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

Mohd Shukri yang merupakan timbalan ketua pesuruhjaya (Operasi) SPRM ketika itu berkata selepas usaha menyakinkan menteri-menteri pada waktu itu tidak mencapai seperti yang dihasratkan, beliau dan Abu Kassim kemudian mengadakan pertemuan dengan Majlis Raja-raja untuk menyakinkan majlis itu supaya mengambil tindakan terhadap Najib, namun hampa.

Jumpa raja, disogok wakil rakyat Kedah, Shukri dedah tekanan kes 1MDB