Warga emas dera kanak-kanak dipenjara sehari, denda RM6,000

Tertuduh V Tanawali didakwa memukul seorang kanak-kanak perempuan berulang-kali menggunakan rotan yang kemudiannya viral di media sosial. (Gambar Youtube)

PETALING JAYA: Seorang warga emas yang tular dalam laman sosial kerana mendera seorang kanak-kanak perempuan dengan merotan mangsa 2 tahun lepas, dipenjara sehari dan denda RM6,000 oleh Mahkamah Sesyen, hari ini.

Hakim Norshila Kamaruddin menjatuhkan hukuman itu terhadap V Tanawali, 63, setelah wanita itu menukar pengakuan kepada bersalah pada prosiding sambung bicara kes itu selepas seorang saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula hari ini dan penjara 6 bulan lagi sekiranya denda gagal dibayar, tertuduh bagaimanapun membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa melakukan penganiayaan terhadap kanak-kanak yang ketika kejadian berusia 6 tahun dengan memukulnya menggunakan rotan pada bahagian muka, badan serta kedua-dua tangan dan kaki.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan wanita yang menjaga kanak-kanak malang yang kematian ibu itu di sebuah rumah di Taman Puchong Perdana, Jalan Mawar, Bukit Puchong pada 11 pagi, September 2016.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda hingga RM20,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam G Manimegalai memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan atas alasan pengakuan bersalah tertuduh menjimatkan masa mahkamah.

“Hanya tertuduh sahaja yang sanggup menjaga mangsa sejak lahir setelah ibu bapanya meninggal dunia…tertuduh juga tidak berniat untuk memukul mangsa dan tindakannya hanya bertujuan untuk mendisiplinkan mangsa,” katanya.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya V V Suloshani memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira kekerapan kes dera membabitkan kanak-kanak.

“Tertuduh juga hanya mengaku bersalah selepas perbicaraan kesnya dijalankan dan bukan pada hari dia dituduh,” katanya.

Pada 6 Jun 2017, media melaporkan satu rakaman video selama 2 minit 50 saat yang menunjukkan seorang wanita menampar dan memukul seorang kanak-kanak perempuan berulang-kali menggunakan rotan tersebar dalam laman media sosial.

Dalam video itu, tertuduh dipercayai mengarahkan mangsa beredar dari meja makan setelah kanak-kanak tersebut menumpahkan makanannya sebelum memukulnya berkali-kali hingga dia menangis.

Video viral jadi bukti, warga emas didakwa dera kanak-kanak