Zahid tidak tahu Shukri desak gugur Najib

KUALA LUMPUR: Pemangku Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak tahu tentang dakwaan Datuk Mohd Shukri Abdull yang dikatakan bertemu beliau bagi mendesak Datuk Seri Najib Razak digugurkan sebagai perdana menteri.

Beliau juga menafikan dia pernah bertemu ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu berhubung perkara itu.

“Itu diluar maklumat dan pengetahuan saya. Tidak ada,” katanya ringkas pada sidang media di Ibu Pejabat Umno hari ini.

Pemangku Timbalan Presiden Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang berada di sisi Zahid juga dilihat menggeleng kepala.

Terdahulu, Shukri pada sidang media mendakwa pertemuan itu dibuat oleh ketua pesuruhjaya SPRM sebelum ini, Tan Sri Abu Kassim Mohamed, kerana terdapat bukti penyelewengan dalam siasatan berkaitan dengan 1MDB.

Shukri ketika itu timbalan ketua pesuruhjaya SPRM (operasi).

“Daripada semua menteri yang kami temui, hanya 3 sahaja berani bersuara iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah. Yang lain semua takut.

“Sekarang apabila sudah tidak jadi menteri, ada yang telefon saya dan kata ‘kalau saya dengar cakap kamu dulu pasti tidak akan jadi macam ini’ (Barisan Nasional tewas pilihan raya),” katanya.

Shukri turut mendakwa dia dan Abu Kassim kemudian bertemu Majlis Raja-raja Melayu berhubung siasatan itu.

“Kami jumpa Majlis Raja-raja 2 kali dan mohon kepada Tuanku supaya tengok masalah 1MDB ini dan gantikan Najib sebagai perdana menteri tetapi kami hampa,” katanya.

Bekas timbalan perdana menteri itu juga berkata, beliau akur dengan tindakan SPRM yang memanggil Najib bagi melengkapkan proses siasatan kes SRC International.

“Saya fikir itu adalah prosedur SPRM, asalkan ia dibuat pada waktu bersesuaian. Kami rasa tatacara itu harus dihormati semua pihak. Kami tidak berkenan apabila waktu tidak sesuai,” katanya.